[Galakan berpuasa pada Hari ‘Asyura & hari sebelum serta selepasnya]

  1. Hari ‘Asyura merupakan salah satu hari yang berada pada salah satu daripada 4 bulan haram iaitu bulan Muharam. Kemuliaan bulan ini dapat dikenal pasti melalui pengharaman Allah SWT ke atas berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta berlaku kezaliman.
  2. Galakan puasa ‘Asyura telah dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
    “Berpuasa pada hari Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya”
  3. Walaupun amalan puasa Sunat Hari ‘Asyura ini amat digalakkan, umat Islam juga digalakkan untuk melaksanakan puasa Sunat pada hari sebelumnya iaitu Hari Tasu’a (9 Muharam) dan selepasnya (11 Muharam). Galakan ini diwujudkan adalah bagi menyelisihi amalan kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal.
  4. Hal ini demikian kerana, terdapat hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menerusi al-Muntaqa yang bermaksud :
    “ Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan yahudi. Berpuasalah sehati sebelumnya ataupun sehati selepasnya”
  5. Selain itu, terdapat juga hadith Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Abbas yang bermaksud :
    “ Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke 9 (Muharam)”
  • Hadith ini membawa dua andaian yang berbeza iaitu :
  1. Rasulullah صلى الله عليه وسلم hendak memindahkan tarikh puasa sunat Asyura daripada 10 Muharam kepada 9 Muharam. Hal ini turut diselisihkan oleh para ulama dalam menetapkan tarkikh sebenar bagi Hari Asyura kerana ada yang berpendapat Hari Asyura jatuh pada 9 Muharam dan ada juga berpendapat ia jatuh pada 10 Muharam.
  2. Rasulullah صلى الله عليه وسلم hendak menyandarkan puasa hari kesembilan pada hari kesepuluh.

Setelah itu, Banginda telah wafat tanpa sempat menerangkan maksud hadith yang telah dinyatakan pada (point 5). Maka, atas jalan berjaga-jaga, sebaiknya untuk kita tidak berpuasa tunggal. Justeru, al-Hafiz Ibnu Hajar membahagikan susunan puasa yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat Hari Asyura iaitu :

  • Puasa pada Hari Asyura dan diapit pada 9 Muharam (Tasu’a) dan 11 Muharam
  • Puasa pada Hari Asyura dan dimulakan dengan dengan puasa sunat Tasu’a
  • Puasa pada Hari Asyura secara tunggal

Rujukan : Tuhfatu al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi

Wallahu A’lam
Kredit : Muhammad Taftazany Abd Rahman