KISAH KARAMAH IMAM AT-TAFTAZANI DAN YAQAZAH
al-Imam Sa’duddin at-Taftazani (722h/1322M-791h/1390M) seorang pemikir agung dalam peradaban Islam yang terkenal sebagai ulama’ ensiklopedik yang pakar pelbagai bidang termasuk bidang bahasa arab, fekah, nahu, sorof, balaghah, Ilmu Kalam, falsafah, tafsir, usul fiqh dan lain-lain lagi.
Diriwayatkan dalam sumber sejarah yang masyhur, kitab Syazarāt az-Zahab karangan al-Imam Ibn al-Imād al-Hanbali, kisah awal pengajian at-Taftazani. Di peringkat awalnya beliau merupakan pelajar yang tercorot dalam kelas, beliau seorang yang sangat lambat faham dan hafal pengajian. Dan beliau berguru dengan tokoh agung ilmu kalam, Imam ‘Adhud ad-Din Al-Iji rhm (680h/1281M- 756h/1355M) pada ketika itu.
Malangnya beliaulah yang paling “slow learner” dalam kumpulan pengajian tersebut sehingga dijadikan perumpamaan orang paling tak pandai ketika itu. Walaubagaimanapun perkara tersebut tidak melemahkan semangat beliau bahkan beliau tidak berputus asa untuk terus belajar dan belajar walaupun tidak ingat dan lambat faham. Beliau terus berdoa dan meminta pada Allah untuk dikurniakan kefahaman.
Sehinggalah tiba pada suatu malam, ada seorang lelaki yang tidak dikenali datang menemui al-Imam at-Taftazani dan berkata :
“Marilah kita keluar berjalan!”
Jawab at-Taftazani : “Aku bukan dicipta untuk bersiar-siar!, dengan mengulangkaji pun aku tidak faham, apatah lagi jika aku pergi berjalan dan tidak mengulangkaji!”
Orang tersebut pun pergi kemudian dia kembali dan berkata lagi : “Marilah ikut keluar berjalan!”
Imam at-Taftazani menjawab sama seperti jawapan pertama. Kemudian orang itu pun pergi dan datang semula dan mengajak berjalan lagi. at-Taftazani marah dan berkata :
“Aku tak pernah melihat orang lebih bodoh dari kamu. Bukankah aku sudah kata aku bukan dicipta untuk berjalan-jalan!”
Orang itu berkata : “Rasulullah ﷺ yang menjemput kamu!”
Tergamam dengan ungkapan itu, Imam at-Taftazani lantas bangkit penuh terkesima dan bergegas pergi sehingga tidak sempat memakai selipar. Beliau berkaki ayam sehingga tibalah beliau di kawasan berpokok di luar bandar, lalu beliau melihat Rasulullah ﷺ bersama beberapa orang sahabat Baginda di bawah teduhan pokok-pokok tersebut. Nabi ﷺ tersenyum dan berkata kepadanya :
“Beberapa kali kami menjemput kamu. Tapi kamu tidak jua berkunjung tiba.”
at-Taftazani berkata : “Wahai Rasulullah, saya tidak tahu kamu yang menjemput, dan kamu juga tahu alasan saya tidak datang kerana saya sangat lemah kefahaman dalam pelajaran, dan saya mahu mengadu perkara tersebut kepadamu Ya Rasulallah.”
Lalu Baginda ﷺ bersabda : “Buka mulut kamu.” Lalu Nabi ﷺ meludah ke dalam mulutnya dan mendoakannya. Seterusnya Baginda menyuruhnya pulang dan memberi berita gembira yang pintu ilmu akan dibuka kepadanya.
Lalu dia pulang dalam keadaan dirinya terpancar dengan ilmu dan cahaya.
Keesokannya dia datang ke majlis guru beliau al-Imam al-‘Adhud dan ketika dia duduk dia membaca beberapa perkara yang rumit yang tidak difahami oleh rakan-rakannya dan mereka menyangka itu hanyalah benda kosong yang tiada apa-apa, tetapi apabila Shaykh al- ‘Adud mendengarnya dia menangis dan berkata :
“Urusanmu dalam jagaanku wahai Sa’ad at-Taftazani, kamu hari ini bukanlah kamu yang semalam!”
Lalu Shaykh al- ‘Adud lantas meletakkan at-Taftazani duduk di tempatnya (menggantikannya mengajar) dan kemudian tersohorlah nama Imam at-Taftazani ke seluruh pelosok dunia sebagai tokoh agung dalam pemikiran Islam, Ilmu Kalam, ilmu bahasa dan Usul Fiqh. Radhiallahu ta’ala ‘anhu.
Antara Sya’ir beliau:
طويت بإحراز العلوم وكسبها … رداء شبابي والجنون فنون
فلمّا تحصّلت العلوم ونلتها … تبيّن لي أن الفنون جنون
—————————-
Antara iktibar melalui kisah ini :
- Karamah yang dikurniakan Allah kepada para kekasihNya untuk bertemu Rasulullah ﷺ secara sedar (yaqazah) bukanlah satu penyakit mental, atau ‘Delusional Disorder’ seperti dakwaan sesetengah pihak. Ianya adalah satu realiti yang mencarik adat.
- Perlu difahami bahawa isu yaqazah adalah bersifat furu’, bukan isu dasar aqidah. Maka orang yang menolak atau tidak menerimanya, adalah tidak menjejaskan Aqidah atau Imannya. Penentang atau yang menerima haruslah berlapang dada. Tiada masalah untuk berbeza asalkan tidak saling menyesatkan.
- Menurut para ulama’, Yaqazah ini tidak mustahil berlaku sebagai Karamah para wali dalam pengalaman rohani mereka sebagai berita gembira/mubashshirat. Orang yang menolak karamah takut-takut akan menolak mukjizat dan terpengaruh dengan saintisme barat.
- Seseorang yang mendapat Yaqazah tidak dikira sebagai Sahabat Nabi dan tidak pula menambah sebarang aqidah dan syariat baru, melainkan ia hanyalah sebagai sebuah mubashshirat. Mana-mana orang sebarangan yang mendakwa mendapat yaqazah, hendaklah dinilai berdasarkan kewibawaan, ketokohan, keadilan dan praktik agama orang tersebut.
- Menurut al-Imam as-Suyuti rhm dalam Tanwīr al-Halak dan para ulama, yang diperlihatkan sewaktu Yaqazah itu bukanlah batang tubuh sebenar dari pusara Rasulullah ﷺ, tetapi ianya hanyalah mithal/syabīh (jelmaan) sahaja dari Alam Mithāl, bukan alam syahādah. Maksudnya Allah menyingkapkan alam Mithal kepada mereka yang mendapat Yaqazah sebagai Karamah.
- Dalam Islam kita percaya kepada alam ghaib, alam ruh, alam barzakh, alam mulk dan alam malakut, berbeza dengan barat yang menafikan alam ruh. Pengalaman rohani di alam lain seseorang tidak mampu dinilai oleh teknologi, diagnosis psychology dan neurosains moden yang masih terikat dengan alam syahadah.
Orang yang mengukur pengalaman rohani dengan neraca psychology sains moden barat hakikatnya terpengaruh dengan saintisme barat yang anti-ruh dan anti perkara ghaibiyyat. Perkara inilah yang boleh menyebabkan orang mengingkari karamah dan mukjizat yang mencarik adat. Semoga Allah lindungi kita semua dan kurniakan kita kefahaman.
Wallahu ta’ala a’lam.
Sumber:
Syazarat az-Zahab Fi Akhbar Man Zahab karya ibn al-Imad jilid 8, hlm 549 cet Dar Ibn Kathir tahqiq Abd Qadir al-Arnaut.
-Abu Hasanayn, Azam Azhary
Telegram: https://t.me/azamalazhary