Natijah dari pembelajaran hadith dari ulama mutasyaddid yang disebarkan kepada awam berkenaan dengan hadith dhaif, kerana menurut mereka hadith dhaif itu tidak boleh digunapakai. Akhirnya Imam Bukhari dikatakan seorang ulama yang biasa-biasa sahaja oleh golongan muda hari ini. Bagi mereka, Imam Bukhari ini tidaklah sehebat mana.

Imam Bukhari bukan menolak hadith dhaif secara total, tetapi menyusun sebuah kitab yang hanya ada hadith sahih di dalamnya ialah Kitab Sahih Al Bukhari. Itupun menurut beliau, tidak semua hadith sahih dimuatkan dalam kitab ini kerana takut-takut umat yang lahir kemudiannya akan rasa jemu membaca.

Untuk kitab-kitab hadith lain susunan Imam Bukhari pula memang ada hadith dhaif kerana hadith dhaif itu bukan hadith palsu, ia tetap masih hadith nabi tetapi tidak cukup syarat maqbul untuk menjadi hadith sahih. Walhal antara Imam as Sittah (imam hadith yang menyusun 6 kitab hadith) sendiri mempunyai manhaj yang berbeza dalam menentukan syarat maqbul hadith sahih.

Contohnya Imam Bukhari meletakkan syarat perawi yang meriwayatkan hadith yang hidup sezaman mestilh pernah berjumpa dalam satu majlis. Manakala Imam Muslim melonggarkan syarat ini, memadailah dua perawi itu tinggal sezaman dan tinggal setempat atau sekurang-kurangnya berdekatan dengan tempat tinggal perawi yang sezaman.

Untuk pengetahuan, Imam Bukhari ialah seorang ulama yang ada “photographic memory”, iaitu hanya dengan sekali lihat sahaja boleh teringat sampai bertahun-tahun. Walhal itu pun hanya terpandang, bukan untuk menghafal. Dapat bayangkan bagaimana jika beliau berniat untuk menghafal dan kita sedia maklum beliau mengabdikan seluruh hidupnya untuk hadith Nabi salallahu alaihi wasallam?

Antara kesilapan kita juga pada zaman ini, kita hanya fokus kepada “riwayah bil lafaz”, sedangkan “riwayah bil makna” boleh jadi juga dhaif pada sanad tetapi sahih pada makna. Selain itu, kita pada zaman ini terlalu fokus kepada ilmu riwayah dan terabai dengan ilmu dirayah. Sehingga skop ilmu hadith ini menjadi terlalu sempit pada pandangan orang awam.

Berkata seorang ulama’ bahawa ilmu hadith ini menyesatkan kecuali bagi fuqaha.

Kredit : Ustaz Uthman Daud