Mengapa bulan Muharram dikaitkan dengan peristiwa hijrah sedangkan hijrah berlaku pada bulan Rabi’ul Awwal?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada sebahagian ulama bahawa ketika para sahabat رضي الله عنه berbincang (pada zaman Khalifah Umar رضي الله عنه), bagamaimanakah kita hendak memulakan tarikh? Peristiwa apakah yang kita hendak jadikan sebagai titik permulaan bagi tarikh atau kalender kita?, maka terdapat beberapa cadangan:

  1. Peristiwa kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.
  2. Peristiwa Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dilantik menjadi Nabi.
  3. Peristiwa hijrah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.
  4. Peristiwa kewafatan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.

Akhirnya mereka memilih cadangan ketiga. Cadangan pertama dan kedua sukar kerana terdapat percanggahan pendapat dalam menentukan tahun kejadiannya. Cadangan keempat juga tidak sesuai kerana mereka tak sampai hati hendak menjadikan kewafatan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sebagai permulaan tarikh Islam Maka akhirnya mereka memilih untuk menjadikan tahun berlakunya peristiwa hijrah sebagai tahun pertama dalam kalender Islam.

Tapi mengapa mereka memilih bulan Muharram dan bukannya bulan Rabi’ul Awwal sebagai bulan pertama? Bukankah hijrah berlaku pada bulan Rabi’ul Awwal?

Jawapannya ialah kerana keazaman Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم untuk berhijrah itu sudah bermula sejak bulan Muharram. Hal ini kerana pada bulan Zulhijjah telah berlaku baiat. Maka selepas itu Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah berazam untuk berhijrah dan bulan pertama selepas peristiwa baiat tersebut ialah Muharram. Maka sesuailah bulan Muharram dijadikan sebagai permulaan. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah, inilah hujah yang paling kuat yang beliau temui dalam menjelaskan faktor kemunasabahan bulan Muharram dipilih sebagai bulan permulaan. Ibarat Ibn Hajar:

وَإِنَّمَا أَخَّرُوهُ مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ إِلَى الْمُحَرَّمِ لِأَنَّ ابْتِدَاءَ الْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ كَانَ فِي الْمُحَرَّمِ؛ إِذِ الْبَيْعَةُ وَقَعَتْ فِي أَثْنَاءِ ذِي الْحِجَّةِ وَهِيَ مُقَدِّمَةُ الْهِجْرَةِ، فَكَانَ أَوَّلُ هِلَالٍ اسْتَهَلَّ بَعْدَ الْبَيْعَةِ وَالْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ هِلَالُ الْمُحَرَّمِ، فَنَاسَبَ أَنْ يُجْعَلَ مُبْتَدَأً. وَهَذَا أَقْوَى مَا وَقَفْتُ عَلَيْهِ مِنْ مُنَاسَبَةِ الِابْتِدَاءِ بِالْمُحَرَّمِ.

[Fath al-Bari, jilid 7, halaman 315, cetakan al-Maktabah al-Salafiyyah].

Jadi tak perlulah kita mempertikaikan dengan mengatakan: “Orang Melayu ni sibuk sambut Maal Hijrah dalam bulan Muharram. Hijrah bukan berlaku dalam Muharram pun!”

Semoga permulaan tahun baru hijri ini menjadi titik permulaan untuk kita berhijrah kepada kebaikan dengan taufiq dari Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.
[Abu Raihanah Abdul Rahman ]