Tunku Kudin as Syahid Musuh Bisik.

Selepas kejatuhan Kuala Kedah ke atas tangan Ligor dan Siam, Sultan Ahmad Tajuddin telah berundur ke Seberang Perai. Di Kampung Kota baginda tanpa berputus asa terus cuba untuk mendapatkan negerinya yang telah di tawan. Selama 4 tahun baginda berutus surat dan mendesak pihak British supaya mereka campur tangan dalam isu penaklukan Siam ini. Di dalam surat-suratnya baginda menyatakan kesedihan yang teramat sangat dan berasa tertipu dengan pihak British yang langsung tidak berbuat apa-apa. Baginda mengatakan bahawa pihak Siam telah membunuh semua pembesarnya termasuklah adik perempuannya, 2 orang anak perempuan dari kerabatnya. Baginda juga berkata baginda dan pengikutnya kini hidup dalam serba kedaifan dan sangat miskin.

Namun pada tahun 1826, Perjanjian Burney ditandatangani di antara pihak Siam dan British di mana salah satu perjanjian ini adalah kedua-dua pihak tidak akan memasuki sempadan Kedah(Siam) – Seberang Perai. Pihak British juga akan membantu Siam untuk menghalau mana-mana orang Melayu yang cuba menyerang kedudukan Siam di Kedah. Oleh itu undang-undang lanun dikeluarkan di mana semua orang Melayu yang melintasi Kedah(siam) dari Pulau Pinang atau mana-mana bahagian Kedah (asal) akan di anggap sebagai lanun dan mereka akan di tahan.

Hal ini menimbulkan kemarahan kepada Sultan Ahmad Tajuddin yang menyebabkan baginda membuat keputusan untuk melawan Siam secara sendirian walaupun baginda tahu bahawa British akan campur tangan dalam hal tersebut. Pada tahun 1827, Sultan Ahmad Tajuddin telah mengumpulkan seramai 80 orang pahlawan termasuklah Tunku Kudin, Tunku Long Putih, Tunku Abdullah, Tunku Daei, Dato Johan dan Tunku Sulaiman berserta seluruh kerabat Kedah bagi melancarkan serangan ke atas pertahanan Siam di Kuala Kedah. Walau pun begitu usaha ini berjaya dipatahkan pihak Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin kemudiannya sekali lagi mengetuskan surat kepada Gabenor Negeri Selat iaitu Robert Fullerton bertarikh 9 November 1827, di dalam surat tersebut baginda telah menyatakan kesedihannya kerana British tidak membantu baginda mendapatkan semula negeri Kedah dan tidak pula mematuhi perjanjian 1786 dahulu dan sudah 6 tahun baginda tidak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkan semula takhtanya.

Kemudiannya pada tahun 1829 sejumlah 16 perahu yang di ketuai oleh Tunku Kudin dan dibantu oleh Tunku Long Puteh, Tunku Jaafar dan Tunku Dagang anak Tunku Long Puteh, Panglima Manan dan 2 orang peon dari Kuala Perai, Che Man Ali, Che Ahiya (Yahya?) dari Tanjung Tokong, Panglima Hassan, Mis, Panglima Saiu (Sayu?), Panglima Punghu(?), Imam Semaun, Che Haji, Panglima Hussein, Panglima Meir dari Teluk Ayer Tawar (Kini terletak di dalam Butterworth, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang) Che Rio, Awang Lahat, Che Akkub dari Pulau Pinang dan Che Akil menawan beberapa orang penduduk di Pulau Mutia, Salang dan Langkawi. Namun angkatan ini tidak dapat bertahan lama dan akhirnya berundur semula.

Selepas menemui kegagalan Sultan Ahmad Tajuddin mengutus surat kepada Seri Lela Pahlawan dan Raja Putera Jaya untuk bersedia menyerang kedudukan Siam. Surat itu bertarikh 19 Disember 1829 itu berbunyi:

“Ketahuilah bahawa beta telah merancang dengan Gabenor Pulau Pinang yang pada awalnya melarang beta untuk menyerang orang-orang Siam di Kedah. Beliau telah berkata kepada beta untuk memindahkan beta ke Teluk Ayer Tawar dan beliau akan cuba untuk mengumpulkan kesemua anak Kedah yang tinggal di Perai, Penaga dan Kuala Muda untuk pindah bersama beta. Seramai 5000 orang akan menyertai beta. Gabenor mahu perkara ini dirahsiakan dari pengetahuan orang Siam kerana ia cuma helah yang dibuat oleh pihak Kompeni dan mereka akan membantu. Beta telah menerima 100 musket bersama serbuk dan peluru. Beta telah mengarahkan anakanda beta dan Tengku Long Puteh supaya menunggu di Langkawi dan menanti kepulangan semua Panglima Kedah dari barat. Mereka akan pulang dalam bulan ini semasa beta sedang merancang untuk menyerang Kedah dari arah Pulai. Jangan biarkan rakyat beta curiga. Gabenor Bengal telah mengarahkan Gabenor Pulau Pinang supaya menghantar 4 buah kapal bersama 1000 orang sepoi bagi membantu beta”.

Namun di pertengahan jalan surat itu di rampas dan diserahkan kepada Raja Ligor yang berada di Kuala Kedah. Pada 30 Januari 1830, Raja Ligor telah mengutus semula surat yang telah di rampas itu kepada Gabenor Pulau Pinang. Beliau juga mempersoalkan mengapa tentera British di tempatkan di sempadan Perai. Pihak British kemudiannya mengeluarkan arahan supaya seluruh Sungai Perai mestilah di kawal dengan ketat.

Walaupun surat itu tidak berjaya sampai namun Tunku Kudin bersama 2000 orang Kedah termasuk 80 bekas sepoi British telah melancarkan serangan di Kuala Kedah.

Pada tahun 1831 pasukan Kedah yang di pimpin oleh Tunku Kudin berjaya merampas semula Kuala Kedah. Tentera Siam yang bertahan di situ terpaksa mengundurkan diri ke Alor Ganu. Akibat terlalu marah kira – kira 30 orang Siam yang di tawan telah di seksa sehingga mati sebagai membalas dendam ke atas serangan yang berlaku pada tahun 1821 yang lalu. Manakala terdapat Orang – orang Cina yang membantu Siam turut di seksa sehingga mati, mereka di jahit hidup – hidup di dalam kulit kerbau dan dibiarkan di bawah sinaran matahari sehingga mati. Pasukan ini terus mara sehingga ke Chena (Patani).

Pasukan Tunku Kudin bertahan selama hampir 3 bulan namun begitu kemaraan askar dari Bangkok dan Songkla menyebabkan tentera Kedah ini terpaksa berundur semula ke Kuala Kedah. Pada bulan Jun, Raja Ligor berjaya mengumpulkan tentera dari Patthalung dan Bangkok untuk menyerang Kedah. Seramai 7500 orang tentera dengan 3000 gajah telah bergabung dengan angkatan tentera Siam yang berada di Alor Ganu dan mengepung Kota Kuala Kedah selama 5 bulan. Tunku Kudin dan pahlawan Kedah telah berperang dengan menggunakan meriam Badak Berendam dan Meriam Katak Puru untuk menghalang tentera Siam dari mendarat. Setelah kehabisan peluru meriam, Tunku Kudin bertahan di pintu utara kota bersama 50 pahlawan Kedah. Tentera Siam pula menyerbu masuk mengikut pintu timur kota dengan mendirikan menara untuk memanjat dinding kota. Tunku Kudin dan pahlawan bertahan sehingga mereka semua terbunuh. Menurut catatan Siam seramai 1255 pahlawan Melayu terbunuh di dalam Kota Kuala Kedah termasuklah 600 orang pahlawan wanita. Seramai 5000 orang di tawan dan di bawa ke Ligor. Pertempuran ini tamat pada 22 April 1832.

Hakikatnya tanpa bantuan Gabenor Ibbetson yang membantu Siam dengan mengepung sepanjang pantai Kedah, sudah pasti pihak Siam tidak mampu untuk menewaskan angkatan Kedah. Ibbetson juga memberi ubat bedil kepada tentera Ligor manakala kapal – kapal British iaitu Zephyr dan Emerald telah diarahkan untuk memintas pasukan Tunku Kudin dan Tunku Long Puteh di Sungai Merbok dan Sungai Kedah yang mungkin akan melarikan diri dari arah laut. Manakala Kapal Wolf dan Alligator pula diarahkan untuk mengawal bantuan tentera dan bekalan makanan kepada askar Siam.

Walau pun begitu kejayaan Tunku Kudin ini juga telah memberi kesan kepada negeri-negeri Patani yang kemudiannya melancarkan penentangan ke atas pendudukan Siam yang menyebabkan Siam terpaksa berhempas pulas mengalahkan pasukan Patani yang turut terdiri dari Kelantan dan Terengganu.

Tunku Kudin atau nama sebenarnya Syed Zainal Abidin merupakan anak kepada Syed Muhammad azZahir dan dari ibunya Tunku Hitam (adik Sultan Ahmad Tajuddin II). Tunku Kudin merupakan jurai dari keturunan Nabi SAW dan merupakan seorang ulama sufi yang di lahirkan di Alor Setar Kedah.

Menurut laporan Singapore Chronicle bertarikh 5 Januari 1832, Tentera Siam yang takutkan semangat dan keberanian beliau telah mengupah beberapa orang bengis untuk membunuh beliau dengan cara meletupkan rumah Tunku Kudin pada waktu malam pada tahun 1829. Dalam pengeboman ini isteri Tunku Kudin dan 3 orang anaknya terbunuh. Hanya Syed Hassan dan Syed Hussein saja yang terselamat. Oleh kerana peristiwa inilah yang Tunku Kudin telah menyeru semua pahlawan Kedah berjuang bermati-matian bagi membebaskan Kedah. Seruannya berjaya mengumpulkan seramai 2000 orang Kedah dan beratus-ratus lagi pahlawan dari Pulau Pinang untuk mara ke Kuala Kedah.

Akhirnya ke semua mereka menemui syahid yang diidamkan oleh semua umat Islam…

Bissiril al-fatihah untuk semua Pahlawan Musuh Bisik.

MHR

Dipetik, diolah dan ditambah baik dari buku saya Gajah Putih Di Bumi Geroda: Perang Melayu Siam 1767-1842.