STORM MANAGEMENT AND ROAD TUNNEL

Jika di Jepun ada sistem pengurusan banjir yang amat efektif, di Malaysia; kita ada Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART). Terowong strategik dwi-fungsi ini dibina pada tahun 2003 dan mula beroperasi sejak tahun 2007.

Dengan kos pembinaan yang mencecah RM1.887 bilion, projek mega berjarak 9.7 kilometer itu diiktiraf sebagai salah sebuah terowong terbaik di dunia. Daripada jumlah jarak tersebut, jarak laluan trafik kenderaan berjumlah 3.3 kilometer.

Sebagai info, terowong SMART hanya memberi akses kepada kenderaan ringan berketinggian dua meter sahaja. Had kelajuan yang ditetapkan untuk kenderaan menelusuri terowong itu pula berada pada kadar 60 kilometer per jam (km/j).

SMART bermula dari Kampung Berembang, Ampang berhampiran Sungai Klang dan berakhir di Taman Desa, Salak Selatan yang tidak jauh dari Sungai Kerayong.

Lokasi pembinaannya amat strategik, selaras dengan fungsi utama SMART, yakni; melencongkan limpahan air banjir dari Sungai Klang dan Sungai Ampang ke Kolam Takungan Taman Desa sekiranya berlaku kejadian hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur.

Selain melencongkan air banjir daripada menerjah pusat bandar, SMART turut memainkan peranan efektif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas ketika waktu puncak; khasnya di sepanjang Jejambat Loke Yew, Pudu dan Jalan Sungai Besi.

Sistem pengoperasian SMART ditetapkan pada empat mod, setiap mod akan terpakai mengikut keadaan dan bergantung sepenuhnya pada keadaan cuaca.

Jikalau kita meneliti pelan pembinaan SMART, terowong itu memiliki tiga aras (dek). Ketika cuaca baik, aras pertama dan kedua terowong SMART digunakan untuk laluan trafik sehala, manakala aras ketiga (terbawah) pula digunakan untuk penyaliran air banjir.

Ketika berada pada Sistem Lencongan Banjir Mod 1 dan 2, aliran trafik SMART akan berjalan seperti biasa memandangkan kapasiti air di sungai-sungai utama Kuala Lumpur belum mencapai tahap yang membimbangkan.

Aliran trafik hanya akan dihentikan sepenuhnya apabila Pusat Kawalan SMART ingin mengaktifkan Mod 3 dan 4, setelah Kuala Lumpur dan wilayah sekitarnya dilanda hujan lebat sehingga meningkatkan paras air di sungai-sungai utama.

Sepanjang 14 tahun tertubuhnya SMART (2007-2021), pengaktifan lencongan Mod 4 hanya pernah dilakukan sebanyak lapan kali sahaja. Terbaharu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaktifkan Mod 4 pada jam 7.45 malam (18 Disember) dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari (19 Disember).

Pengaktifan lencongan SMART Mod 4 selama lebih daripada 22 jam itu dilaporkan berjaya melencongkan kira-kira 5 juta meter padu air, sekali gus dapat mengurangkan impak buruk banjir kilat di sekitar kawasan Lembah Klang secara signifikan.

Kejayaan itu telah mencatatkan sejarah baharu buat SMART, bila mana terowong itu buat pertama kalinya mengaktifkan Mod 4 selama lebih daripada tiga jam.

Hal ini memberikan petanda jelas bahawa; Malaysia sebenarnya berpotensi untuk menempatkan projek-projek mega strategik yang mampu memberikan impak positif sekiranya berlaku sesuatu bencana alam yang serius.

Pada masa yang sama, menurut laporan; kerajaan Malaysia telah merencanakan 98 buah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang bernilai sebanyak RM9.19 bilion bagi mengatasi permasalahan banjir di seluruh negara.

Kesemua projek itu telah diluluskan di dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), yang mana; 27 projek RTB kini sudah pun berada dalam fasa pelaksanaan, di samping baki 64 projek diletakkan di dalam peringkat pra-pelaksanaan.

Kredit : Muhammad Norshafiq