Tenung nasib adalah perbuatan meramal masa depan atau hal-hal ghaib yang tidak diketahui oleh seseorang. Berkenaan hukum tenung atau tilik nasib, ianya adalah haram kerana hanya Allah SWT yang mengetahui segala yang ghaib. Firman Allah SWT:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja”
(Surah Al An’am: 59)

Begitu pula dalam ayat lainnya disebutkan,

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”
(Surah al-Naml: 65)

Allah SWT secara jelas memerintahkan orang beriman supaya menjauhkan diri daripada amalan tenung nasib sebagaimana firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik…”
(Surah al-Ma’idah: 3)

Menurut Syeikh Mustafa al-Maraghi, ayat berkaitan pengharaman merenung nasib ini bermaksud diharamkan untuk meminta ilmu tentang apa yang telah ditentukan kepada seseorang dengan anak panah sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliah. Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/52.

Selain itu, Allah SWT juga berfirman.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)

(الْأَزْلَامُ) menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Ata, Sa’id ibnu Jubair, dan Al-Hasan serta lain-lainnya ialah anak-anak panah (yang tidak diberi bulu pengimbang dan tidak diberi hujung). Alat ini biasa mereka pakai untuk mengundi nasib. Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim. Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/161.

Kalimah (الرِّجْسُ) dari segi bahasa menurut Imam Fakhruddin al-Razi adalah segala perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji. Menyatakan ia adalah amalan syaitan merupakan satu penyempurnaan bagi perbuatan yang dilihat dan dianggap kotor atau keji kerana syaitan itu sendiri adalah najis yang bersifat khabith (buruk/kotor/teruk). Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/423.